Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid melancarkan Program BELIA BRUNAS.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Jun. – Pada 5 Jun setiap tahun, masyarakat global termasuk Negara Brunei Darussalam menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam perihal kepentingan menjaga alam sekitar dan menggalakkan penglibatan tindakan semua lapisan masyarakat untuk melindungi alam sekitar dan memelihara kemampanannya.
Pada tahun ini, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan memfokuskan kepada penglibatan belia dalam usaha menjaga alam sekitar, di mana satu Majlis Pelancaran Program BELIA BRUNAS dan Pengiktirafan Pemimpin Belia Alam Sekitar telah diadakan pada pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Muhammad Hafiy bin Noorsam, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, selaku Pengerusi Majlis.

PENGARAH Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, selaku Pengerusi Majlis semasa memberikan ucapan alu-aluan.
Dalam ucapannya, beliau mengaitkan tema sambutan: 'Beat Plastic Pollution' dengan menekankan kepentingan perubahan ke arah pengurusan dan penggunaan plastik yang lebih bertanggungjawab dan mampan. Di samping itu, tabiat yang mesra alam dan peka akan kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar adalah satu langkah penting dalam menangani isu pencemaran plastik.
Tambah beliau, keberkesanan langkah ini bergantung kepada penyertaan dan sokongan setiap lapisan masyarakat iaitu melalui pendekatan senegara, yang mana antaranya termasuklah para belia.
Beliau turut mengongsikan mengenai program BELIA BRUNAS, satu program khas yang akan dijadikan satu platform bagi memberi peluang kepada belia-belia Negara Brunei Darussalam untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memberi impak yang lebih bermakna dan berpanjangan, yang dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar negara.
Program ini terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa 1, diberi nama Program YouLEARn, singkatan untuk “Youth Learn, Empower and Advocate for a Resilient Environment" dan Fasa 2 iaitu Program YouGAIN, singkatan bagi “Youth Green Actions for Innovation".
Buat julung kalinya juga, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi memberikan pengiktirafan kepada belia-belia yang berdedikasi dalam menyumbang kepada agenda pembangunan negara, termasuk usaha-usaha dalam memastikan kelestarian alam sekitar, sebagai Pemimpin Belia Alam Sekitar.
Satu video ucapan khas daripada Pengarah Pejabat Serantau Asia Pasifik, United Nations Environment Programme, Dr. Dechen Tsering, turut ditayangkan yang antara lain memfokuskan kepada penglibatan belia ke arah memikirkan semula cara menggunakan plastik, termasuk ekonomi kitaran.
Majlis diteruskan dengan pelancaran Program BELIA BRUNAS dan penyampaian sijil dan plak Pengiktirafan Pemimpin Belia Alam Sekitar kepada Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari, Dayang Liaw Lin Ji, Dayang Noor Hafizah binti Haji Rashid, dan Dayang Shaima binti Haji Misli yang disempurnakan tetamu kehormat majlis.

YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan dan Eksekutif Kanan Kementerian Pembangunan bergambar ramai bersama penerima sijil Pengiktirafan Pemimpin Belia Alam Sekitar.
Majlis diakhiri dengan lawatan ke Pameran Belia Alam Sekitar yang disertai oleh Pejabat Wawasan Brunei, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Green Brunei, Tebalik Plastik, Precious Plastic, Purrfectlygreen, Brumi Lestari dan Villaju.bn.
Turut hadir semasa majlis tersebut adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee; Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan dan Penolong-Penolong Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai kanan serta jemputan-jemputan khas.

ANTARA para jemputan yang hadir.
Bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada tahun ini, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi juga menyusun beberapa program lain termasuk Kempen 'Maritah! Menderma Darah' yang akan diungkayahkan pada 10 Jun 2025 dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, bertempat di Pusat Membeli-belah One City dan Hari Kitar Semula Senegara (Edisi Upcycling) yang akan diadakan pada 22 Jun 2025.
Maklumat lanjut mengenai kempen dan acara ini boleh didapati di laman Instagram rasmi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi: @jastre.bn
Sumber: Siaran Akhbar Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.